OGOS 2024

SAINS Bangun Aplikasi Terjemah Dialek Sarawak


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan aplikasi komunikasi bagi meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, saluran komunikasi dalam talian itu yang dibangunkan menerusi Sarawak Information Systems (SAINS) menterjemahkan bahasa atau dialek Sarawak secara langsung.

Katanya, aplikasi tersebut membolehkan orang ramai berbual secara langsung dalam bahasa Bidayuh atau Iban.

"Jadi, kita sudah memiliki aplikasi sendiri yang dilaksanakan oleh anak Sarawak,” katanya.

Abang Johari berucap demikian dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Komputer Riba Percuma dan Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak (AKPS) Ke-31 di Hikmah Exchange, Jalan Haji Taha di sini, hari ini.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga akan menubuhkan sebuah Pusat Kecerdasan Buatan (AI) pertama di negeri ini yang dijangka bermula tahun depan.

Katanya, pusat tersebut memainkan peranan penting dalam menyediakan maklumat tambahan serta menghasilkan kandungan baharu berdasarkan garis panduan dan kod etika AI atau lebih dikenali sebagai 'generatif AI'.

"Apabila ini berlaku, anak Sarawak akan dapat menguasai apa sahaja ilmu menerusi penggunaan AI dan peranti elektronik,” katanya.

Seramai 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) layak menerima inisiatif bantuan komputer riba percuma daripada Kerajaan Sarawak.

Bantuan menerusi Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak disampaikan oleh Abang Johari kepada enam pelajar dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) (12),Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan  Politeknik Kuching Sarawak (PKS) masing-masing (11), Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) (10).

Sementara itu, seramai 48 pelajar pula menerima Anugerah Khas Premier Sarawak (AKPS) yang membawa pulang wang tunai, sijil penghargaan serta trofi.

Hadir sama ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.